Friday, March 13, 2009

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Timbalan Perdana Menteri 2009

Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Timbalan Perdana Menteri 2009 telah diadakan pada 6 Mac 2009 yang lalu di PICC Putrajaya. Hari tersebut merupakan malam kemuncak pertandingan akhir PABM menyaksikan seramai 8 peserta berjaya mara ke peringkat akhir. Mereka ialah Li Jing (China), Kamarudzaman Abdul Jalil (Brunei) Ayleen O’Honlon (Australia), Shavira Alaydrus (Belanda), Shamsul Salleh (Malaysia), Novavy Sleh (Kemboja), Alexandra Samohvalova (Rusia) dan Margaretha Chrisna Sari (Indonesia). Selain mereka, terdapat ramai lagi para peserta dari luar negara yang menyertai pertandingan ini antaranya ialah Jepun, Korea Selatan, Kyrzystan, Portugis dan sebagainya. Penyertaan pada tahun ini nampaknya lebih hebat berbanding tahun 2008 dan 2007 apabila banyak negara baru yang menyertai pertandingan ini seperti Yaman. PABM ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang turut hadir bersama isterinya, Datin Rosmah.

Para peserta PABM peringkat akhir

Untuk menyaksikan pertandingan yang berprestij ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menghantar seramai 27 orang wakil dibawah Kelab Debat dan Mahasiswa Intelektual (DEMI) yang telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam Pertandingan Debat Piala Naib Canselor UMT 2009 yang lalu. Para peserta yang dipilih ini diharapkan dapat mengaplikasikan apa yang telah dipelajari ketika menyaksikan pertandingan ini sekaligus menaikkan semangat mereka dalam arena pengucapan awam seperti pidato, debat dan sebagainya supaya bergerak lebih maju ke hadapan.

Tajuk-tajuk pidato untuk pertandingan akhir PABM ialah:
  • Belia Pemacu Keharmonian Negara
  • Malaysia Gemilang Di Persada Antarabangsa
  • Bahasa Melayu Bahasa Perpaduan
  • Keadilan Ekonomi Teras Kemakmuran
  • Kepimpinan Berintegriti Asas Keamanan Dunia
  • Alam Terpelihara Manusia Sejahtera
  • Perpaduan Menjamin Kemajuan Negara
  • Kebejatan Moral Petanda Keruntuhan Tamadun
  • Rumpun Melayu Syurga Warisan
  • Kecemerlangan Pendidikan Asas Pembangunan Negara
Keseluruhannya, para peserta berjaya memberikan persembahan yang mengujakan dan menghiburkan. Peserta yang bersaing bagi kategori antarabangsa memberikan saingan yang hebat di antara mereka apabila setiap mereka menunjukkan kepetahan dalam berpidato dan memberikan penghujahan yang besesuaian dengan tajuk. Untuk PABM kali ini, lebih ramai penyertaan yang diterima dari negara-negara luar dan jumlah penyertaan telah meningkat pada tahun ini. Apa yang lebih membanggakan, setiap peserta yang menyertai pertandingan ini berbicara dalam bahasa Melayu di antara mereka. Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu turut dikenali dan dituturi di peringkat antarabangsa sekaligus menjadikan bahasa Melayu merupakan bahasa pertuturan yang ke-4 di dunia.

PABM yang disiarkan secara langsung di RTM1 ini telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada Novavy Sleh dari Kemboja yang menjuarai kategori antarabangsa dan pada tahun ini, sekali lagi Malaysia berjaya menjuarai kategori Nusantara melalui Saudara Shamsul Salleh yang berjaya menewaskan peserta dari Brunei dan Indonesia.

Novavy Sleh (kiri) dan Shamsul Salleh

Setelah menyaksikan pertandingan ini, nyata semangat kami untuk terus mencintai arena pengucapan awam ini melonjak tinggi. Kami berkobar-kobar melihatkan kebolehan dan kepetahan penutur bahasa Melayu yang beraksi di pentas akhir PABM terutamanya bagi kaum yang bukan Melayu seperti dari negara Asia Barat Daya, Eropah dan sebagainya. Mereka mampu bertutur dan berpidato dengan baik walaupun bahasa Melayu bukanlah bahasa pertuturan mereka di negara asal.

Diharapkan selepas ini, kepada adik-adik, sahabat dan diri saya sendiri, semoga semangat kita untuk terus berjuang dalam arena debat tidak pernah luntur sama sekali. begitu juga dengan semangat ingin memperjuangkan bahasa Melayu agar keindahan pertuturan dan keunikannya terikat kemas dan rapi serta terpelihara keasliannya di sanubari kita-bangsa Melayu itu sendiri... Hidup Melayu!

Delegasi UMT ke PABM di PICC

No comments:

Read More

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...